Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Ramai menyangka masalah kulit wajah berpunca daripada pencuci muka yang tidak serasi, kurang tidur, atau proses penuaan semula jadi. Namun menurut perkongsian Public Health Malaysia di Facebook, satu faktor utama yang sering dipandang ringan ialah pengambilan gula berlebihan.
Sebenarnya gula yang diambil secara berlebihan setiap hari boleh memberi kesan ketara terhadap kesihatan kulit wajah.
Perkongsian Public Health Malaysia di media sosial Facebook mendedahkan pengambilan gula tinggi boleh memberi kesan kepada wajah. Antara kesan utama ialah:
1. Kulit Cepat Berkedut
Gula akan melalui proses glycation, di mana ia bergabung dengan kolagen dan elastin. Ini menjadikan kolagen keras dan mudah rosak, menyebabkan kulit hilang keanjalan dan cepat kendur.
2. Kulit Kusam dan Tidak Bermaya
Pengambilan gula yang tinggi meningkatkan keradangan dalam badan dan menjejaskan aliran darah ke permukaan kulit. Akibatnya, wajah kelihatan letih dan kurang berseri.
3. Jerawat Semakin Teruk
Gula meningkatkan paras insulin dalam badan, yang merangsang pengeluaran sebum secara berlebihan – faktor utama jerawat.
4. Kulit Kering dan Mudah Iritasi
Keradangan kronik akibat gula mengganggu fungsi lapisan pelindung kulit, menyebabkan kulit kering, sensitif dan mudah meradang.
5. Lingkaran Gelap di Bawah Mata
Gula juga boleh menjejaskan kualiti tidur kerana paras gula yang tinggi mengganggu hormon tidur. Akibatnya, lingkaran gelap bawah mata menjadi lebih jelas dan bengkak.
Public Health Malaysia menyarankan orang ramai mencuba untuk mengurangkan pengambilan gula selama 30 hari. Hasilnya mungkin mengejutkan: kulit menjadi lebih bersih, jerawat mula surut, lingkaran gelap bawah mata berkurangan dan wajah tampak lebih berseri secara semula jadi.
IMedikel TV






