PARIS: TikTok menyekat akaun seorang pengguna yang memuat naik meme berbentuk sindiran menggunakan elemen ‘set permulaan’ (starter kit) Gisele Pelicot, ikon feminis Perancis yang terselamat daripada hampir sedekad menjadi mangsa rogol oleh puluhan lelaki, menurut kenyataan aplikasi video popular itu pada Rabu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, rangkaian sosial kebelakangan ini dibanjiri dengan meme starter pack atau starter kit, yang terdiri daripada beberapa gambar yang biasanya menggambarkan sesuatu pengalaman.
TikTok memaklumkan kepada AFP bahawa akaun pengguna itu dipadam pada Selasa dan kandungan itu kini tidak lagi boleh diakses.
“Seorang lelaki menggunakan imej Gisele Pelicot untuk mempromosikan laman janji temu libertin,” kata akaun feminis Ovairestherainbow di Instagram.
“Ia jelas satu bentuk penghormatan terhadap jenayah rogol,” kata akaun itu yang mempunyai lebih 90,000 pengikut.
Akaun feminis itu turut memuat naik meme starter kit yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), memaparkan anak patung berpakaian tidur menyerupai Gisele Pelicot, 72, bersama gambar katil, sebiji pil dan sebuah kamera.
Meme itu turut menampilkan simbol penarafan umur 4+, perkataan pre-order your Gisele serta pautan ke laman web berunsur libertin.
Saluran berita Perancis BFM melaporkan gambar itu mendapat sekurang-kurangnya 30,000 tontonan.
Stesen itu juga berkata lelaki terbabit sebelum ini pernah memuat naik kandungan yang menghina Pelicot, termasuk gambar permainan papan bertajuk ‘jangan kejutkan Gisele’.
Pelicot mendapat pengiktirafan antarabangsa tahun lalu kerana berani tampil tanpa rasa malu dalam perbicaraan bekas suaminya yang mengatur penyeksaan seksual terhadap dirinya hampir sedekad.
Dominique Pelicot, bekas suaminya, ‘mengkhayalkan’ Gisele (menggunakan ubat-ubatan) selama hampir 10 tahun supaya dia dan puluhan lelaki lain yang direkrutnya secara dalam talian boleh merogol wanita itu.
Mahkamah Perancis pada Disember lalu menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas Dominique Pelicot.
Kesemua 50 individu yang turut bersubahat turut didapati bersalah dan dikenakan hukuman antara tiga hingga 15 tahun penjara. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






