Home Buletin Semasa WARISAN ARANG KAMPUNG BUKIT MAK LIPAH TERUS MENYALA

WARISAN ARANG KAMPUNG BUKIT MAK LIPAH TERUS MENYALA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Industri pembuatan arang menjadi nadi penting dalam kehidupan masyarakat tempatan khususnya bagi mereka yang sering menggunakan bahan bakar tersebut untuk keperluan mereka.

Sementara ramai yang sudah kurang memilih pekerjaan rumit itu, namun masih ada bara yang menyala di Kampung Bukit Mak Lipah, Melor, di sini.

Bagi pasangan suami isteri, Pazuriatiayu Paudin, 49 dan Nazri Md Sohor, 52, mereka terus setia memelihara warisan tersebut dengan menjadikan perusahaan arang sebagai sumber rezeki utama mereka.

Industri itu telah diwarisi sejak turun-temurun malah, bara tersebut tidak pernah padam dalam kehidupan mereka.

“Pada awalnya, industri pembuatan arang ini dibuat oleh arwah bapa saya, Paudin Ismail sejak 50 tahun dahulu, tetapi sekarang saya yang mewarisi industri ini bersama suami sejak 15 tahun dahulu sehingga kini.

“Saya lihat kebanyakkan golongan tua sahaja yang buat kerja ini, anak muda memang tidak ada mungkin kerana penat, sebab pembuatan arang ini paling pentingnya adalah stok kayu mesti sentiasa ada,” katanya.

Pazuriatiayu berkata, setakat ini dia mempunyai sebanyak lapan “gok” bersaiz kecil dan besar yang berfungsi membakar kayu sehingga menjadi arang.

Katanya, gok bersaiz kecil memerlukan tempoh masa selama dua minggu untuk membakar arang, sementara gok besar pula mengambil masa tiga minggu lebih lama.

“Kayu itu kita akan ambil dengan orang ramai, biasanya ada orang yang cuci kawasan, kebun, pekerja saya akan mengambilnya dan meletakkan kayu ke dalam gok tersebut, biasanya mengambil masa dua jam sahaja untuk menyusun kayu itu.

“Selepas kayu dimasukkan ke dalam gok, api dinyalakan di bahagian tempat khas sebelah pintu utama. Kayu kemudian dibakar menggunakan suhu tinggi untuk tiga hari, sebelum proses pembakaran diteruskan menggunakan api sederhana serta kecil sehingga kayu bertukar menjadi arang,” katanya.

Jelasnya, antara jenis kayu yang digunakan untuk membuat arang ialah kayu pokok rambutan, getah dan dokong.

Selain itu, Pazuriatiayu berkata dia perlu memeriksa gok lima kali sehari bagi mengelak ia merekah selain gok juga perlu ditampal dengan tanah liat dan pasir halus basah di permukaan pintu bagi mengekalkan kelembapan supaya suhu terkawal.

Katanya, gok kecil yang digunakan mampu memuat kayu sebanyak dua lori manakala, bagi gok besar pula, sebanyak tiga lori.

“Kayu yang disusun pada awalnya penuh, tetapi apabila sudah masak, ia hanya separuh sahaja sebab banyak yang jadi abu,” katanya.

Menurutnya, arang tersebut dijual pada harga RM3 bagi satu plastik, manakala RM40 bagi satu guni termasuk dicampur juga dengan arang hancur yang dipanggil arang putting.

Pazuriatiayu berkata, dalam sehari dia mampu menjual sebanyak 50 guni arang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here