KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan membuat keputusan tergesa-gesa berhubung ‘kemelut’ kontrak pasangan beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Sebaliknya, badan induk itu memilih untuk memberi ruang dan masa kepada pasangan ranking lima dunia itu bagi menentukan hala tuju karier mereka sama ada kekal di BAM atau bergelar profesional.
Pemangku Presidennya, Datuk V Subramaniam berkata, badan induk itu memahami situasi yang dihadapi Pearly-Thinaah dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka untuk membuat keputusan.
“Benar, mereka belum menandatangani kontrak lanjutan tetapi perbincangan sedang berjalan. Ia hanya membabitkan soal masa.
“Saya tidak boleh tetapkan tempoh tertentu kerana kami mahu beri mereka ruang untuk berfikir. Jadi bagi saya, ini bukan satu isu besar. Mungkin mereka ada perkara tersendiri yang perlu dipertimbangkan.
“Jadi biar mereka buat keputusan dengan tenang dan ketika ini, mereka masih bersama kami,” kata Subramaniam yang ditemui selepas Majlis Pelancaran Malaysia Masters di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Mengulas lanjut, Subramaniam menegaskan bahawa BAM sudah melabur banyak dari segi kewangan dan pembangunan pemain-pemain negara dan kini terpulang kepada pemain itu sendiri untuk menentukan hala tuju mereka demi negara.
“Segala-galanya sudah kami berikan. Kami sentiasa menyokong mereka dan kini ia bergantung kepada mereka sendiri untuk melakar kejayaan demi Malaysia,” katanya.
Selepas kontrak Pearly-Thinaah dilaporkan berakhir pada Disember lalu, BAM dikatakan sudah pun mengemukakan tawaran lanjutan sejak Januari namun sehingga kini masih belum dimuktamadkan.
Justeru, timbul spekulasi yang mendakwa pasangan itu sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan BAM dan beralih menjadi pemain profesional sekiranya beberapa tuntutan yang dilaporkan termasuk penyesuaian gaji tidak dipenuhi. – BH Online –
IMedikel TV






