Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 33 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dicekup dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Kota Bharu, Tumpat dan Tanah Merah pada Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan dalam kenyataan berkata operasi tangkapan itu dijalankan oleh 17 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan, kira-kira jam 4.30 pagi.
“Bertindak atas hasil risikan, anggota sudah membuat pemeriksaan terhadap PATI di sekitar Lembah Sireh Kota Bharu, Mukim Bechah Resak Tumpat dan Kusial Tanah Merah.
“Tangkapan paling ramai membabitkan 20 warga Bangladesh, selebihnya adalah Thailand (2), Myanmar (2), China (1), Indonesia (6), Nepal (2),” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Jelasnya, kesemua PATI berumur lingkungan 18 hingga 58 tahun.
“Mereka ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen1963,” katanya.
JIM Kelantan menggesa orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” katanya.
IMedikel TV






