Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Cubaan menyeludup masuk 25 ekor kambing dari Thailand bernilai RM177,500 digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan, di Felda Kemahang 3, di sini, pada Isnin.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan berkata dalam kejadian sekitar jam 8.45 malam itu, sepasukan anggota Batalion 8 PGA menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menemui puluhan kambing di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Pemandunya, seorang lelaki berusia 33 tahun, gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan pemilikan atau pengimportan sah.
“Rampasan dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,”menurutnya dalam kenyataan.
PGA dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan negara, khususnya di negeri Kelantan.
IMedikel TV






