LONDON: Pengendali Liverpool, Arne Slot akui penjaga gol Brazil, Alisson Becker bakal kembali memperkuatkan pasukan itu apabila turun dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham di Anfield, esok.
Jelas Slot, pemain berpengaruh itu kini bersedia untuk dipertaruhkan bagi mengawal gawang The Reds selepas Becker mengalami kecederaan di bahagian kepalanya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan negaranya bulan lalu.
“Kemungkinan dia (Becker) akan beraksi semula. Kita tunggu nanti,” katanya menjawab ringkas soalan pemberita dalam sidang media pra perlawanan itu.
Selain itu, Slot juga mengakui skuad kendaliannya kemungkinan bakal mendapat semula khidmat Conor Bradley yang disisih akibat kecederaan sebelum ini.
Menurutnya, kesemua pemain menunjukkan kesungguhan dan beliau harus mencari gandingan terbaik untuk aksi berikutnya.
“Sudah tentu ia satu rangsangan, ia sentiasa menjadi satu rangsangan apabila pemain berkualiti kembali pulih. Terutamanya pemain berkualiti di posisi tertentu.
“Bradley juga makin pulih dan sedia untuk beraksi. Dia beraksi di posisi pertahanan kanan di mana Trent (Alexander-Arnold) juga berada pada prestasi terbaik.
“Bagaimanapun Bradley sudah kembali, saya fikir satu keputusan yang penting perlu dibuat dalam usaha kita mengekalkan kedudukan teratas liga,” katanya. -Agensi, HMetro Online-
IMEDIKEL TV






