Home Sukan ANCELOTTI TAMPAK PASRAH, NAMUN HARAP BANGKIT DI BERNABEU

ANCELOTTI TAMPAK PASRAH, NAMUN HARAP BANGKIT DI BERNABEU

LONDON: Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui mereka hanya ada peluang tipis untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas tumbang 0-3 di tangan Arsenal namun memberi amaran penyandang juara itu mampu mencipta magis di laman sendiri.

Dua jaringan Declan Rice menerusi sepakan percuma serta gol Mikel Merino meletakkan juara Eropah 15 kali itu dalam keadaan yang sangat sukar menjelang aksi suku akhir kedua di Madrid, minggu depan.

Di sebalik kekalahan itu, apa yang membimbangkan adalah prestasi hambar Real Madrid di mana mereka tidak begitu memberi ancaman di bahagian serangan serta struktur pertahanan yang kurang kemas meskipun masih ada peluang untuk mereka bangkit pada aksi kedua nanti.

“Kebiasaannya pasukan ini akan meningkatkan perlawanan mereka pada detik yang penting,” kata Ancelotti.

“Ini satu keputusan yang mengecewakan, ini aksi yang buruk. Kita perlu kritikal terhadap diri sendiri dan melakukan apa sahaja yang boleh untuk bangkit pada perlawanan minggu depan.”

Pengurus dari Itali itu mnenegaskan anak buahnya perlu tampil dengan aksi lebih baik untuk menyalakan kembali peluang ke separuh akhir apabila berkata ‘aksi mereka tidaklah terlampau buruk sepanjang perlawanan.’

Namun Real Madrid memiliki rekod yang cemerlang membabitkan kebangkitan khususnya di Santiago Bernabeu – mereka pernah bangkit daripada ketinggalan dengan tiga gol pada aksi pertama namun ia berlaku ketika menentang Derby County, hampir 50 tahun lalu.

Ancelotti juga tampak seakan kurang percaya dengan peluang Real Madrid pada aksi suku akhir kedua nanti namun dia mengingatkan Arsenal bahawa perlawanan belum lagi berakhir.

“Kebarangkalian (untuk layak) adalah agak rendah tetapi kami akan mencuba 100 peratus. Kami akan lakukan apa sahaja yang boleh dan ini peluang untuk kami memberikan maklum balas seperti aksi buruk malam ini (awal pagi tadi).

“Bola sepak sentiasa berubah. Tiada siapa yang jangkakan Rice akan menjaringkan dua gol menerusi sepakan percuma.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Kita perlu percaya kerana kadangkala, banyak (magis) yang mampu berlaku di Bernabeu. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here