Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Keterujaan menyambut hari Raya Aidilfitri bukan sahaja untuk golongan kanak-kanak, malah tidak terkecuali kepada pelajar kolej.
Tinjauan IMedikel TV di sekitar sebuah kolej di sini mendapati mereka sudah tidak sabar untuk pulang bercuti di kampung halaman masing-masing walaupun masih dalam tempoh peperiksaan akhir.
Bagi Nur Ain Nabilah Mustakim, 22, pelajar tahun dua jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sebuah kolej, di sini, berkata dia sudah membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke kampung di Yan, Kedah sejak sebulan lalu.

“Saya balik ke kampung dengan kapal terbang dan sudah membeli tiket kapal terbang sebulan lalu.
“Saya teruja hendak balik ke kampung untuk berjumpa sanak saudara,”katanya.
Katanya, untuk tahun ini mereka sekeluarga memilih warna tema Rich Brown.
“Kalau macam yang kita sedia maklum, tahun ini digembar gemburkan dengan warna Rich Brown. Jadi tema saya pun sama juga,”katanya.
Nurul Asykin Zabidi, 19, berkata dia tidak kisah menempuh perjalanan yang agak lama untuk pulang beraya nanti.

“Walaupun mengambil masa selama empat jam menaiki keretapi ke Kuala Krai, namun saya tetap teruja untuk balik nanti,”katanya.
Manakala seorang lagi pelajar, Farah Nabilah Roslan, 21, dari Cheras, Selangor, berkata dia masih belum membuat persiapan Hari Raya.

“Persiapan tahun ini belum lagi. Sebab saya merancang untuk membeli pakaian raya selepas balik nanti.
“Saya lebih suka membeli pakaian di kedai berbanding dalam talian kerana kalau cantik dan berkenan boleh terus beli,”katanya.
Jelas terpancar keterujaan mereka untuk pulang beraya semasa sesi temuramah bersama wartawan.
IMedikel TV






