MUNICH: Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner akan menyertai kejohanan ATP di Hamburg dari 18 hingga 24 Mei selepas tamat penggantungan dopingnya dalam persiapan menuju Terbuka Perancis, menurut penganjur, hari ini.
“Buat pertama kali dalam kariernya, Jannik Sinner akan bersaing di Terbuka Hamburg 2025,” kata penganjur kejohanan dalam satu kenyataan di media sosial.
Pemain berusia 23 tahun itu bersetuju dengan penggantungan selama tiga bulan pada Februari selepas mengakui bertanggungjawab terhadap kesilapan pasukannya yang menyebabkan dia dua kali didapati positif mengandungi jejak steroid anabolik terlarang, clostebol, pada Mac 2024.
Juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Terbuka Australia itu akan menamatkan penggantungannya pada 4 Mei, membolehkannya kembali beraksi tepat pada masanya untuk Terbuka Perancis, kejohanan Grand Slam kedua tahun ini.
Kejohanan di gelanggang tanah liat di Hamburg akan menjadi acara kedua Sinner selepas kembali, selepas dia turut dijadualkan bertanding di tanah airnya dalam Terbuka Itali di Rom dari 7 hingga 18 Mei.
Sinner mara ke separuh akhir Terbuka Perancis tahun lalu.
Edisi tahun ini dijadualkan berlangsung dari 25 Mei hingga 8 Jun. -AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






