Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pelbagai jenis air balang yang dijual di sepanjang Bazar Ramadan sudah semestinya menggiurkan pelanggan yang memandangnya sekaligus menarik perhatian mereka untuk membeli.
Menurut peniaga air balang, Muhammad Firdaus Hazban, 23, dari Kota Bharu, berkata, bagi memberi kelainan dan selera baru kepada pembeli, dia menjual sebanyak 15 jenis air balang berbanding enam jenis, tahun lalu.
“Kita cuba sesuatu yang baharu pada tahun ini dengan menjual 15 jenis air balang.
“Kesemua air balang yang saya jual memang dicampur dengan aiskrim, antara menu air adalah termasuk coklat, strawberi, jagung, vanilla, oreo dan pelbagai lagi,” katanya.
Muhammad Firdaus berniaga air balang dan dibantu lima pekerja sejak tiga tahun lalu di bazaar Ramadan sekitar Stadium Muhammad ke IV, di sini.
Jelasnya, air balang yang ditambah dengan aiskrim ternyata menjadi pilihan ramai di setiap bazaar Ramadan seterusnya menjadikan air jualannya mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Ditanya mengenai harga air jualannya, Muhammad Firdaus berkata dia terpaksa menaikkan harga air sebanyak RM1 disebabkan kos bahan mentah yang digunakan.
“Sebelum ini saya jual air gelas kecil pada harga RM3 tetapi tahun ini terpaksa dinaikkan kepada RM4, manakala untuk gelas besar dan dalam plastik adalah RM5,” katanya.
IMedikel TV






