Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Berpantang maut sebelum ajal, itu adalah perumpaan yang boleh digambarkan kepada pemandu trak pikap jenis Hilux selepas kenderaan yang diletakkan di tepi jalan dirempuh sebuah treler muatan minuman air berkarbonat, di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 3, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemandu Hilux tersebut, Mohd Zaki Mat Udin, 37, berhenti di tepi jalan berhadapan kedai menjual peralatan hidraulik untuk mengambil minyak pelincir (grease) dan alat ganti escavator yang ditempah.
Dia yang bekerja sebagai mekanik, berkata sebelum itu dia sepatutnya mengambil anak keduanya, Muhammad Hafiy Nazran, 5, pulang dari sekolah pada jam 12 tengah hari.

“Pada awalnya, saya ingin mengambil anak di sekolah terlebih dahulu. Namun memandangkan masih awal, saya singgah untuk mengambil minyak pelincir dan alat ganti jentera berat.
“Sebelum kejadian, saya duduk di kerusi batu sebelum melihat sebuah treler melulu laju dan sempat melarikan diri ke dalam kedai semula kerana bimbang treler tersebut merempuh kedai tersebut.
“Kemudian saya melihat treler tersebut merempuh Hilux saya. Saya sangat bersyukur kerana masih terselamat.
“Saya juga dapat maklumat bahawa terdapat seorang ibu dan anak dalam keadaan tergamam di dalam kereta jenis perodua Myvi di sebelah saya Hilux saya itu, manakala suaminya berada di dalam kedai,”katanya ketika dihubungi.
Menurutnya dia berasa lega kerana terselamat dalam kejadian itu namun jauh di sudut hatinya dia terkilan kerana kenderaan yang digunakan untuk bekerja tidak dapat diselamatkan.

“Rasa lega sebab saya selamatkan diri terlebih dahulu, cuma dalam hati berkata Hilux saya sudah hancur.
“Hilux itu diamanahkan kepada saya oleh majikan saya. Saya sudah menggunakan Hilux tersebut selama 9 tahun sebagai kegunaan untuk bekerja,”katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, mengesahkan kejadian itu.
“Kita siasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berdasarkan dia (pemandu treler) memandu secara melulu dan merbahaya.
“Kita sahkan kejadian itu dan kita jalankan siasatan di bawah akta tersebut,”katanya.
IMedikel TV






