Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Gerakan AM (PGA) merampas mercun dan bunga api bernilai RM1.4 juta dalam Op Taring Charlie di Kampung Bunohan, di sini, pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan berkata rampasan pada jam 6.45 petang itu dilakukan apabila menyerbu sebuah premis disyaki tempat penyimpanan mercun dan bunga api untuk Hari Raya Aidilfitri.
“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan pemilik premis dan di dalam premis tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
“Namun pemeriksaan terhadap sebuah lori di hadapan premis membawa kepada penemuan berpuluh kotak disyaki mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api,”katanya.
Katanya dokumen berkaitan barang yang ditunjukkan pemilik premis agak meragukan dan pihak polis merampas kesemua barang tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Suspek lelaki berumur 31 tahun dan hasil rampasan di bawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
IMedikel TV






