PASIR PUTEH: Seramai 600 peserta menyertai program Rakan Muda Ramadan yang membabitkan semua daerah di Kelantan.
Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria, program tersebut adalah program tahunan pihak jabatan di bulan Ramadan.
“Program Rakan Muda Ramadan adalah program tahunan yang kami anjurkan. Tahun lepas kami buat di Madinah Ramadan.
“Seramai 40 peserta terlibat untuk setiap daerah yang mewakili tadarus al-Quran dan khatam al-Quran, pertandingan azan dan hafazan, pertandingan bercerita kisah-kisah dari al-Quran dan majlis berbuka puasa,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan 2025, di Masjid Ibrahimi, di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad dan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Roshdi Ismail.
Katanya program tersebut bukan sahaja mendapat sambutan daripada peserta malah mendapat tajaan majlis berbuka puasa daripada Yaya Empire dan Ocean Fresh.