Home Buletin Semasa ARWAH SUAMI TIADA SELERA MAKAN SEJAK AWAL RAMADAN-HASLIN EZRIANI

ARWAH SUAMI TIADA SELERA MAKAN SEJAK AWAL RAMADAN-HASLIN EZRIANI

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: “Sejak hari pertama puasa, arwah tidak ada selera makan dan tidak banyak bercakap,” kata isteri kepada mangsa kemalangan maut di jalan Kampung Aril, Melor, Haslin Ezriani Hamzah, 44.

Menurut Haslin Ezriani, pada hari kejadian, suaminya Allahyarham Suhaide Suhaimi, 46, keluar rumah untuk pergi bekerja sebagai pembantu penyelenggara pembinaan jalan raya Melor-Pak Badol pada pukul 10 malam, Selasa lepas.

“Saya pelik kerana Ramadan tahun ini dia tidak ada selera makan dan hanya makan sekadarnya. Kebiasaannya pada puasa tahun lepas, dia berselera.

“Jiran juga ada memberitahu mereka pelik dengan sikapnya yang pendiam dan tidak menegur semasa lalu-lalang di tepi rumah, sedangkan sebelum ini dia sangat mesra,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Aril, Pauh Lima di sini, hari ini.

Dia berkata suaminya pernah berkhidmat sebagai guru selama 15 tahun dan bersara awal.

Jelasnya, pada malam tersebut juga dia berasa sangat mengantuk dan terus tertidur sebaik sahaja suaminya keluar dari rumah.

“Allahyarham mengalami kecederaan teruk di kepala dan dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang, juga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aril Pauh Lima pada pukul 11 malam tadi,” katanya.

Allahyarham mempunyai dua anak, Muhammad Ammar Naufal, 18 dan Ahmad Danish Muzaffar Ahmad Faturni, 17.

Terdahulu kemalangan tersebut tular kerana berlaku pertembungan motosikal dengan sebuah motosikal yang lain di Jalan Kampung Aril ke Pauh Lima.

Video berdurasi 16 saat itu menunjukkan Allahyarham Suhaide berpakaian kerja tidak sedarkan diri dan cuba disedarkan beberapa orang di tempat kejadian, bagaimanapun usaha itu gagal.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here