Home Buletin Semasa YBR SUMBANG RM3 JUTA UNTUK GOLONGAN B40

YBR SUMBANG RM3 JUTA UNTUK GOLONGAN B40

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukkan sebanyak RM3 juta bagi membantu golongan B40 dalam menyediakan bantuan persekolahan.

Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM6,300 diberikan kepada mereka dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang melibatkan 63 murid di Kelantan.

“Saya amat terharu melihat ibu bapa bersusah payah disebalik kesempitan yang mereka hadapi, kita harus berikan bantuan hingga ke peringkat yang tertinggi kepada anak-anak.

“Kesusahan itu tidak boleh kita wariskan kepada anak-anak, jadi saya yakin caranya adalah kita perlu berikan mereka pendidikan yang terbaik”, katanya ketika sidang media selepas menyampaikan bantuan persekolahan, di Pusat Latihan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bantuan itu diberikan kepada murid termasuk yang bersekolah di Tanah Merah dan Kota Bharu.

Jelasnya, program tersebut adalah kerjasama daripada Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI).

Sementara itu, bapa kepada lima anak, Mohd Salwani Zakaria, 51 dari Beris Kubor Besar berkata, dia bersyukur dengan sumbangan itu kerana sedikit sebanyak dapat meringankan bebanannya dalam menyara keluarga.

Katanya, bantuan itu diberikan kepada anak bongsunya Umi Afiqah Mohd Salwani, 15.

“Dengan sumbangan wang tunai ini, saya akan belikan baju sekolah yang baharu untuk anak bongsu saya kerana pada awal persekolahan baru-baru ini, dia hanya memakai baju sekolah kakaknya sahaja,” katanya.

Ujar Mohd Salwani yang merupakan OKU fizikal selepas mengalami kemalangan sejak 23 tahun lepas, dia dan isteri Azimah Ibrahim, 49 kini berniaga aiskrim dan kuih-muih secara kecil-kecilan bagi menampung keluarganya.

“Bebanan yang saya lalui sebelum ini semakin berkurangan kerana bantuan juga tidak putus dan anak sulong saya berusia 28 tahun juga sudah bekerja,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here