Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 16 warga asing termasuk tiga kanak-kanak dicekup dalam Op Sapu yang dijalankan selama dua hari bermula 3 hingga 4 Mac di sekitar Tanah Merah dan Jeli pada jam 10 pagi, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata berdasarkan hasil risikan, pemeriksaan dilakukan terhadap warga asing di rumah kongsi Kilang Papan Batang Merbau, Tanah Merah dan rumah Kongsi Kilang Papan ZG Timber, Ayer Lanas, Jeli.
“Operasi ini dijalankan oleh 16 pegawai pelbagai pangkat daripada bahagian penguatkuasaan imigresen negeri.
“Dalam operasi ini, imigresen menahan 11 lelaki, dua wanita berumur 30 hingga 60 tahun serta tiga kanak-kanak, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berumur 1 hingga 4 tahun,” katanya.
Jelasnya, kesemua kanak-kanak itu ditahan bersama ibu bapa mereka masing-masing.
“Mereka di bawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
JIM menggesa agar orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang warga asing atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi warga asing,” katanya.
IMedikel TV






