Home Buletin Semasa KKM PANTAU TAHAP KEBERSIHAN BAZAR RAMADAN

KKM PANTAU TAHAP KEBERSIHAN BAZAR RAMADAN

271
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,781 premis penyediaan makanan, termasuk kilang ais, restoran, dan hotel dan pengendali makanan diperiksa bagi memastikan mereka mengikuti Latihan Pengendali Makanan (LPM) serta mendapat suntikan anti-tifoid.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan di Facebook, berkata sejak Februari 2025, KKM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah mengenal pasti lokasi serta jumlah gerai bazar Ramadan yang beroperasi.

Dalam kenyataan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengadakan ‘walkabout’ di Bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya, semalam bagi meninjau sendiri pelaksanaan kawal selia kebersihan dan keselamatan makanan oleh para peniaga.

“Walkabout ini turut menandakan pelancaran rasmi Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2025, yang akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara.

“Sebagai tambahan kepada langkah pemantauan dan advokasi sedia ada, KKM turut memperkenalkan WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan, iaitu sebuah platform baharu yang membolehkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan kebersihan premis makanan dengan lebih mudah dan pantas,”menurut kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan pemantauan merangkumi keseluruhan rantaian bekalan makanan, dari sumber bahan mentah hingga ke penyediaan dan penjualan di bazar Ramadan.

“Ini termasuk pemeriksaan ke atas premis penyediaan makanan, kilang ais, restoran, serta gerai makanan yang dilesenkan oleh PBT.

“Langkah ini bertujuan memastikan pematuhan kepada perundangan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, serta mencegah risiko pencemaran dan memastikan keselamatan makanan untuk pengguna,”menurut kenyataan itu.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati juadah berbuka puasa yang selamat, bersih dan berkualiti sepanjang bulan Ramadan, bebas daripada risiko insiden keracunan makanan.

PKKM akan terus memperkasakan kempen keselamatan makanan bagi memastikan para pengendali makanan dan peniaga bazar Ramadan mengamalkan kebersihan dan pengendalian makanan yang selamat bagi melindungi kesihatan pengguna.

Setakat ini, 260 sesi taklimat kebersihan premis dan pengendalian makanan sudah dilaksanakan, membabitkan 76,803 gerai di 1,292 tapak bazar Ramadan di seluruh negara.

Hadir sama dalam program tersebut adalah Timbalan Menteri Kesihatan ,Datuk Lukanisman Awang Sauni, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here