Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Jabatan Kerja Raya (JKR) kini mengenal pasti tiga faktor utama projek pembinaan menjadi tergendala iaitu disebabkan kelewatan penghantaran bahan, kenaikan kos bahan dan kos upah buruh.
Pengarah JKR Kelantan, Nik Soh Yaakob berkata, kontraktor di negeri ini sering mengalami masalah terbabit sehingga dalam tempoh masa yang lama.
“Sesetengah barangan menghadapi kenaikan harga sehingga 20 hingga 30 peratus dalam tempoh enam bulan kerja pembinaan dijalankan.
“Ini menyebabkan kontraktor tidak dapat melaksanakan kerja mengikut jadual yang sudah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kelantan Electrical Convention And Exhibition 2.0 (KeCeX 2.0) di Universiti Malaysia Kelantan pada Ahad.
Selain itu katanya, kos upah buruh yang sering dialami kontraktor adalah kekerapan cuti pekerja selepas menerima gaji yang mana ianya menjejaskan kerja dan mengakibatkan kelewatan dalam melancarkan kesinambungan kerja.
“Meskipun kontraktor kini mengalami masalah upah buruh, mereka juga perlu mengambil pekerja tempatan sehingga 60 peratus berbanding warga asing,” katanya.
Dalam pada itu, JKR sentiasa membuat perancangan untuk memastikan kerja-kerja pembinaan itu tidak terbantut dan dapat dijalankan secara lancar.
IMedikel TV






