KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mengesahkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu, pada pemilihan bulan depan.
“Saya akan bertanding,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu ketika ditemui selepas sesi pendengaran awam peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, takaful, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di Parlimen, semalam.
Sesi yang dianjurkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu adalah bagi mendengar sendiri maklum balas daripada rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga tidak terkawal dalam sektor hospital swasta serta premium insurans.
Teresa yang juga Timbalan Pengerusi PAC mula aktif dalam politik pada 1990 dengan menjadi setiausaha politik kepada Lim Kit Siang yang menjadi ketua pembangkang ketika itu.
Beliau yang menjadi Ahli Parlimen Seputeh sejak 1999 turut pernah menjawat Menteri Industri Utama ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Pemilihan CEC yakan diadakan pada 16 Mac ini sempena Kongres Kebangsaan Parti DAP ke-18. Ia akan menyaksikan seramai 30 calon bakal mengisi tempat berkenaan.
Hari ini adalah hari akhir bagi mereka yang dicalonkan bertanding, ingin menarik diri.
Sebelum ini, empat pemimpin veteran DAP termasuk Naib Pengerusinya, M Kulasegaran mengumumkan keputusan tidak mempertahankan jawatan dalam CEC parti itu bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Selain Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu, tiga lagi pemimpin DAP yang mengambil keputusan sama adalah penasihat parti itu, Tan Kok Wai dan Bendahari DAP, Fong Kui Lun serta ahli CEC, Datuk Seri Phee Boon Poh.
Sementara itu, pemimpin muda DAP yang juga Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman turut mempertahankan jawatannya pada pemilihan CEC kali ini.
“Saya ada…insya-Allah akan bertanding nanti,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






