MANCHESTER: Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo mungkin akan terlepas baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas cedera buku lali ketika latihan.
Pemain 22 tahun dari Ivory Coast itu menyumbang sembilan gol dan membantu tujuh lagi musim ini – sumbangan cukup penting daripada Diallo yang mengelak skuad kendalian Ruben Amorim daripada terus tergelincir ke dasar liga.
United kini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris selepas dipintas Everton yang bermain lebih satu perlawanan.
Mereka bagaimanapun boleh kembali merampas tangga ke-13 liga sekiranya berjaya menewaskan pasukan di tangga ke-15, Tottenham Hotspur yang hanya ketinggalan dua mata di belakang United, esok (awal pagi Isnin).
Spurs juga berpeluang mengambil posisi Everton sekiranya menang ke atas United kerana mempunyai perbezaan jaringan lebih tinggi berbanding anak buah David Moyes.
Diallo, yang menandatangani kontrak baharu untuk lima tahun bulan lalu, dijangka terpaksa berehat beberapa minggu, tetapi keadaannya akan dinilai semula.
“Sangat kecewa untuk menulis mesej sebegini pada saat penting musim ini. Malangnya saya terpaksa berehat kerana kecederaan. Saya akan kembali lebih kuat!! Masa untuk memberi sokongan dari luar. Masih banyak untuk dikejar,” kata Diallo.
Diallo kini menyertai pertahanan United, Lisandro Martinez yang tidak akan beraksi musim ini akibat kecederaan ACL. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






