Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
SERDANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 37 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu serbuan di Pangsapuri Timur, Serdang, di sini, pada Selasa.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, dalam operasi pada 12.10 malam itu seramai 58 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Purtrajaya turut terlibat sama.
“Pihak kami memeriksa 82 individu pelbagai warganegara dan mendapati 37 PATI berumur antara 19 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan,” katanya dalam suatu kenyataan, pada Selasa.
Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam berkenaan PATI yang disyaki tinggal di unit kediaman pangsapuri tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Jelas Zakaria, segelintir PATI enggan memberi kerjasama sehingga memaksa pegawai operasi memecahkan pintu unit kediaman tersebut.
“Ada beberapa PATI dikesan bersembunyi di ruang siling bumbung dan tangki air namun helah tersebut dapat dikesan dan kesemua PATI berjaya ditangkap,” katanya.
JIM mengenalpasti kesalahan PATI terbabit termasuk kegagalan mempamerkan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan terbabit dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
JIM tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Tindakan tegas juga diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi PATI.
IMedikel TV






