Home Buletin Semasa 42 KANAK-KANAK ASNAF DAN ANAK YATIM CERIA DAPAT BAJU RAYA

42 KANAK-KANAK ASNAF DAN ANAK YATIM CERIA DAPAT BAJU RAYA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 42 anak-anak golongan asnaf dan anak yatim mempamerkan riak wajah ceria dan teruja sebaik diberi peluang memilih sendiri pakaian untuk dipakai pada Hari Raya Aildilfitri nanti.

Koordinator The 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie berkata, pihaknya menerima sumbangan “orang baik” dan mengambil inisiatif dengan menyalurkan sumbangan itu untuk membeli kelengkapan perayaan kepada anak-anak tersebut.

“Mereka ini teruja dan suka, ada sesetengah itu belum makan daripada pagi lagi sebab tidak sabar nak membeli baju raya.

“Pakaian itu ikut yang mana dia hendak ambil dan pilih, kita tidak memaksa.

“Mereka ini adalah daripada jajahan Kota Bharu dan kawasan pedalaman Pasir Mas, saya ambil anak-anak yatim yang berpendapatan rendah, ibu bapa mereka kerja penoreh getah,” katanya ketika ditemui di pasaraya Mydin Mall Tunjong, di sini, hari ini.

Wan Zalilah berkata, jumlah peruntukan yang disediakan untuk sumbangan tersebut adalah sebanyak RM10,000 dan setiap individu akan menerima sumbangan sebanyak RM150 setiap seorang.

“Untuk perayaan Aidilfitri tahun ini kita bajet dalam RM10,000 bagi pembelian baju, kasut dan lain-lain untuk anak-anak ini,” katanya.

Jelasnya, The 3rd Force mula bergiat aktif sejak 2014 dan terus memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang memerlukan.

Katanya bagi perempuan mereka mendapat sepasang baju kurung, tudung dan kasut raya manakala bagi lelaki, sepasang baju Melayu lengkap bersampin dan sepasang kasut.

Sementara itu, menurut Pengurus Cawangan Mydin, Norrasyid Suratman, pihaknya berbangga memandangkan pasaraya Mydin terpilih dalam pembelian barangan untuk anak-anak berkenaan.

“Kita harap agar kerjasama ini berjalan lancar dan tahun hadapan dan seterusnya boleh berkolaborasi lagi dan kami sentiasa menyokong mana-mana pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk derma dan sumbangan barangan di Mydin.

“Rata-rata barangan yang kami tawarkan untuk mereka membuat pembelian adalah barang-barang promosi yang didatangkan khas musim perayaan iaitu rata-rata kita tengok ada pada harga sebenar daripada RM129 jadi RM99 ataupun RM99 kita turunkan kepada hrga RM59.90,” katanya.

Menurut seorang penerima sumbangan itu, Adriana Syakira Ahmad Rozemi, 12 berkata dia memilih baju kurung dan tudung berwarna ‘peach’ untuk dipakai pada hari raya nanti.

Katanya, dia gembira kerana dapat memilih sendiri baju raya untuk tahun ini.

“Terima kasih The 3rd Force,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here