RANTAU PANJANG: Tahap kesedaran masyarakat bagi pemeriksaan kesihatan masih belum meluas sama ada di bandar atau di luar bandar.
Timbalan Pengarah Klinikal Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dr Zaidi Zakaria berkata kebanyakan mereka lebih fokus kepada pemeriksaan bagi penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Kalau saya lihat, mereka sedia maklum berkenaan darah tinggi dan kencing manis bagi pemeriksaan kesihatan.
“Tetapi untuk penyakit lain terutamanya kanser payudara, mereka sebenarnya segan. Jadi hari ini, kita datang untuk memberi pendedahan kepada masyarakat untuk penyakit ini dan beberapa lagi yang berkaitan kesihatan yang mereka perlu tahu,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kesedaran Kesihatan Penduduk Kampung Gual Periok, di sini, pada Selasa.
Katanya, pada program tersebut bukan sahaja mereka dapat melakukan pemeriksaan asas kesihatan, tetapi mereka juga berpeluang untuk belajar cara melakukan Resusitasi kardiopulmonari (CPR) iaitu prosedur kecemasan yang berpotensi menyelamatkan nyawa seseorang dalam situasi di mana jantung atau pernafasan mereka terhenti (henti jantung).
Selain itu, katanya penduduk di kampung tersebut juga diberi pendedahan cara untuk melakukan bantuan kecemasan sekiranya ada mangsa yang tercekik.
Katanya, itu adalah pendedahan awal bagi bantuan asas kecemasan yang masyarakat perlu tahu sebelum menerima bantuan dari klinik atau hospital.
“Macam contoh CPR ini, kita tidak seperti di negara maju yang lain. Tiba-tiba kalau ada orang pengsan atau tercekik, kita tidak tahu hendak buat macam mana.
“Bukan setakat masyarakat di luar bandar, malah masyarakat di bandar pun kemungkinan masih ada yang tidak tahu hendak buat CPR, macam mana hendak membantu orang yang tercekik,”katanya.
Beliau berharap dengan adanya program seperti ini masyarakat lebih terdedah dan lebih cakna berkenaan kesihatan.
“Saya berharap dengan program ini, ia menjadi satu titik tolak supaya kita lebih berkembang dan kita sentiasa mendapat bantuan daripada HPUSM dan Kementerian Pengajian Tinggi dari sudut bantuan kewangan, khidmat nasihat supaya kita terus membantu masyarakat dari segi APEX Universiti.
“Saya berharap dengan program ini kita menjadi lebih cekap dan lebih mampan pada 2025,”katanya.