Home Hiburan AMERUL MAHU JADI PENSYARAH, ‘MASUK’ UPSI AMBIL SARJANA

AMERUL MAHU JADI PENSYARAH, ‘MASUK’ UPSI AMBIL SARJANA

KUALA LUMPUR: Pelakon Amerul Affendi, 38, bakal menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana seni persembahan secara APEL Q di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, sebelum mengejar cita-cita bergelar pensyarah.

APEL Q merujuk bagi tujuan penganugerahan kelayakan akademik melalui penilaian ilmu yang diperoleh daripada pendidikan formal, pengalaman kerja, pengalaman hidup atau/dan himpunan kursus pendek bagi tujuan mendapatkan kelayakan program akademik di pusat pendidikan tinggi.

Amerul atau nama sebenar, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, berkata dia akan mengikuti program itu secara sepenuh masa mulai bulan depan.

“Insya-Allah, tahun ini saya mahu sambung belajar di UPSI. Saya pilih bidang sama, iaitu seni persembahan. Saya akan ikuti program APEL Q di mana program ini berdasarkan pengalaman bekerja kita.

“Mereka mahukan individu berpengalaman, yang bekerja minimum 10 tahun. Saya sambung belajar sebab saya mahu mengajar, saya hendak jadi pensyarah.

“Lakonan tetap menjadi hobi saya, buat masa sekarang, saya mahu kejar cita-cita. Sekarang saya belum sedia mengajar, saya perlukan ilmu dan selepas dapat ijazah sarjana, insya-Allah saya boleh mengajar,” katanya kepada BH Online.

Pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini memegang pesanan bintang legenda, Ahmad Yatim, iaitu timba ilmu sebelum mengajar.

Amerul juga berpandangan, dengan ilmu ditimba selepas bertahun-tahun dalam industri kreatif, sudah tiba masanya dia berkongsi dengan masyarakat, juga seiring usaha untuk kekal relevan dalam industri seni tanah air.

“Kalau diikutkan, bulan depan akan diterima masuk ke program itu. Saya akan gikuti program sepenuh masa, tetapi tidak perlu hadiri kelas. Ini juga program diikuti penyanyi, Datuk Nash yang menghabiskan program ini dalam tempoh enam bulan sahaja.

“Apabila tamat nanti, saya akan mengajar perkara berkaitan ilmu lakonan. Pada masa sama, saya boleh timba banyak perkara baharu sebab kita mahu kekal relevan, jadi semua ini perlu,” katanya.

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 menerusi filem Terbaik Dari Langit ini juga tidak menafikan rasa tercabar dengan kehadiran pelakon baharu.

“Saya fikir mereka bagus, bukan hadir dengan rupa semata-mata, sebaliknya mereka ada bakat dan minat. Saya seronok melihat kita ada pelapis berbakat,” katanya yang tampil dengan filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 bakal menemui penonton mulai 6 Februari ini. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here