Home Buletin Semasa PROJEK PAKEJ 1 MAMPU TAMPUNG 500,000 PENDUDUK MENJELANG 2045

PROJEK PAKEJ 1 MAMPU TAMPUNG 500,000 PENDUDUK MENJELANG 2045

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

IPOH: Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Ipoh, Perak (Pakej 1) dijangka mampu menampung seramai 500,000 penduduk setempat menjelang tahun 2045.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan memaklumkan, projek tersebut telah selesai mengikut kontrak yang ditetapkan di bawah pelaksanaan Jabatan Perkhidmatan Air dan Pembetungan (JPP) menerusi peruntukan Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10).

“Skop projek Pakej satu ini melibatkan pembinaan sistem rangkaian paip pembetungan baharu sepanjang 88 kilometer, sembilan stesen pam baharu, penyahtauliahan dan perobohon 149 buah loji awam serta loji di premis kerajaan.

“Menerusi penyiapan projek ini, ia dapat memberi manfaat kepada kira-kira 250,000 penduduk di Ipoh, Perak dan mampu menampung 500,000 penduduk setempat menjalang 2045,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut PETRA, pembinaan sistem rangkaian paip pembetungan moden itu bukan sahaja dapat mengurangkan masalah berkaitan sistem rawatan kumbahan sedia ada, malah membolehkan penyambungan ke sistem rangkaian paip pembetungan daripada kawasan-kawasan pembangunan baharu.

Selain itu, ia juga mampu mengurangkan potensi pencemaran sungai dan membantu memulihara kualiti air sungai melalui pelepasan efluen terawat yang mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009.

“Sistem rangkaian paip pembetungan ini membolehkan penutupan 149 buah loji awam yang telah usang di sepanjang rangkaian, sekali gus membuka peluang untuk pembangunan lain di kawasan tapak- tapak loji lama berkenaan,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu juga, menerusi pelaksanaan projek itu JPP sebagai agensi pelaksana pembetungan di seluruh negara, berjaya melakar kejayaan menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

“Dua rekod yang dicipta itu adalah Longest Single Curve Jacking Drive For 2100mm diameter Pipe (832.5 meter), dan Longest Distance 2100mm diameter Pipe jacking (2,430.6 meter),” jelasnya.

Mengulas lanjut, PETRA terus komited menyediakan prasarana pembetungan negara yang cekap dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan Lawatan Kerja ke Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Papan, Daerah Kinta, Perak (Pakej 1) yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.

Anwar turut berkesempatan melawat salah satu stesen pam kumbahan yang telah siap sepenuhnya di Taman Cempaka, Ipoh, Perak.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here