Home Hiburan SITI BIMBING UMAI SECARA PROFESIONAL

SITI BIMBING UMAI SECARA PROFESIONAL

162
0

KUALA LUMPUR: Kesungguhan penyanyi remaja, Ummi Umairah, 14, membawa diri sebagai anak seni membuka peluang buatnya bernaung di bawah syarikat pengurusan milik ibu saudara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu SN Legacy Sdn Bhd.

Usaha dan minat mendalam ditunjukkan Umairah atau mesra disapa Umai dalam bidang seni suara menjadi faktor utama Siti yang juga Biduanita Negara melamarnya menjadi artis pertama SN Legacy.

Siti berkata, dia terbuka membimbing Umai secara profesional selepas anak saudaranya itu memanfaatkan bantuan diberikan untuk bertanding di World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Julai tahun lalu dengan membawa pulang pingat emas.

“Saya tidak mengikatnya lebih awal kerana mahu lihat Umai tunjukkan kebolehan serta kemampuan dalam bidang nyanyian.

“Bagi saya, penting untuk Umai mencari pengalaman seperti saya lakukan dahulu. Pada awal sebagai penyanyi, saya ambil pelbagai tawaran menyanyi, termasuk kenduri kahwin atau ‘fun fair’.

“Dahulu bersama syarikat rakaman Suria Records (SRC) memang berbeza dengan sekarang. Saya sudah lalui zaman 1990-an hingga sekarang. Jadi, saya melihat perlu membimbing Umai dengan cara lebih baik dan profesional,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian Umai sebagai artis di bawah SN Legacy di sebuah restoran, di sini, kelmarin.

Umai atau nama sebenar, Ummi Umairah Saiful Anuar menjadi artis pertama SN Legacy selepas syarikat membuka cabang baharu dengan memberi fokus kepada pengurusan artis. Kontrak Umai bersama SN Legacy selama lima tahun bermula 1 Januari lalu.

Siti berkata, langkah mengambil Umai sebagai artis di bawah naungan syarikatnya akan membantu daripada pelbagai aspek pembinaan karier secara profesional.

“Ibu bapa Umai akan terus bersama walaupun sudah tandatangan kontrak bersama saya. Keluarga tetap bersama seperti saya dahulu. Namun, kami akan bantu untuk urusan lebih profesional seperti kontrak.

“Kami ada perancangan untuk Umai keluarkan single sebelum ada album. Mungkin ketika cuti sekolah, Umai boleh masuk studio rakaman.

“Ada beberapa acara juga kami sudah tetapkan. Umai perlu lebih belajar mengenai ilmu dalam persembahan. Untuk menjadi anak seni, hati perlu cekal.

“Perjalanan Umai masih jauh dalam industri seni. Saya tetap nasihat untuk fokus kepada akademik. Alhamdulillah, Umai memang belajar di Sekolah Seni Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Umai berharap peluang diberi mampu membentuk dirinya menjadi anak seni lebih berjaya, selain meneruskan harapan ibunya yang juga penyanyi Siti Saerah.

“Saya mahu teruskan impian ibu. Saya tahu ibu impikan anaknya berjaya. Ibu memang sentiasa mendoakan anaknya dalam apa sahaja dilakukan,” katanya.

Nama Umai mula dikenali sebagai penyanyi cilik berbakat selepas menjadi peserta program realiti seperti Ceria Megastar Ministar, Famili Duo musim pertama.

Selain itu, Umai pernah beraksi di Konsert Cinta Di Awan bersama Siti di Arena of Stars, Genting Highlands, tahun lalu, malah pernah menjayakan persembahan di Konsert Diraja Istana Budaya dan berduet dengan Cakra Khan menerusi konsert itu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here