Home Buletin Semasa PENGAWAL KESELAMATAN MILIKI TIGA BILAH PARANG DIDAKWA DI MAHKAMAH

PENGAWAL KESELAMATAN MILIKI TIGA BILAH PARANG DIDAKWA DI MAHKAMAH

339
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan separuh masa didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata berjadual tiga bilah parang di Kampung Chica Kubang Kerian, pada 2.10 pagi, 13 Januari lalu.

Tertuduh, Nik Azahar Mohamed, 51 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan memiliki senjata berjadual iaitu tiga bilah parang masing-masing berukuran 51 sentimeter (cm), 60 cm dan 62 cm tanpa maksud yang sah, di kawasan Taman KUB Kampung Chica Kubang Kerian di sini, pada 2.10 pagi, 13 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 7 (1)Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Husni Mubarak Ghazali.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan jaminan memandangkan kes tersebut adalah serius.

“Anak guam saya berusia 51 tahun dan menanggung seorang isteri dan anak tunggal yang masih kecil.

“Dia hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan separuh masa dengan pendapatan RM700 sebulan, serta mempunyai masalah kesihatan buah pinggang dan kolesterol selain isteri menghidap penyakit kencing manis,” katanya ketika memohon pengurangan jaminan.

Kamarul Hasyime kemudian membantah memandangkan tertuduh tidak mengemukakan sebarang dokumen sokongan.

“Jika benar-benar sakit, tertuduh boleh menerima rawatan di penjara dan jika mahkamah menawarkan jaminan, tawaran dikenakan RM20,000 dengan syarat tambahan,” katanya.

Hakim membenarkan tawaran jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula dan serahan dokumen pada 25 Februari depan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here