Home Buletin Semasa LANDASAN ECRL DARI MARAN KE KOTA BHARU SIAP AWAL DARIPADA JADUAL

LANDASAN ECRL DARI MARAN KE KOTA BHARU SIAP AWAL DARIPADA JADUAL

217
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerja pemasangan landasan sepanjang kira-kira 400 kilometer bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan jajaran utama dari Maran, Pahang hingga ke Kota Bharu, siap lebih awal daripada dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata kerja pemasangan landasan tersebut siap dua bulan setengah lebih awal sekaligus membolehkan ia siap sepenuhnya pada Disember 2026.

“Ini adalah satu pencapaian yang baik kerana kita sudah berada landasan yang tepat untuk kita siapkan sepenuhnya pada Disember 2026 nanti.

“Peratus kemajuan kerja yang sudah kita capai setakat Disember 2024 ialah sebanyak 77.39 peratus. Manakala setakat ini kemajuan kerja sebanyak 77.93 peratus dan kita berada di landasan yang tepat untuk kita siapkan sepenuhnya pada Disember 2026 dan mula beroperasi Januari 2027,”katanya kepada pemberita di Stesen ECRL Kota Bharu, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata kerja-kerja menyiapkan landasan itu sangat signifikan kerana melibatkan laluan utama ECRL dari Pahang ke Kelantan.

“Alhamdulillah projek ini berada pada landasan yang baik untuk kita siapkan sepenuhnya.

“Setakat ini kita tidak ada isu besar yang boleh melewatkan untuk menyiapkan tetapi kita berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam usaha kita menjayakan projek mega ini,”katanya.

Mengulas lanjut, Darwis berkata kerja selebihnya di stesen itu adalah lebih kepada proses akhir penyiapan.

“Kerja selebihnya di stesen ini lebih kepada kerja akhir (finisihing of the station) dan di Kelantan ini lebih kurang 43 kilometer sahaja.

“Terdapat dua stesen di negeri iaitu di Kota Bharu dan di Pasir Puteh. Sudah tentu kerja-kerja pembinaan stesen yang lebih utama yang akan diberikan tumpuan sebab kerja-kerja pembinaan alignment telah siap sepenuhnya dan selepas itu kerja-kerja elektrifikasi di sepanjang laluan ECRL sudah bermula dan sedang giat dijalankan ketika ini,”katanya.

Dalam masa sama Darwis berkata harga tiket akan diumumkan pada masa yang bersesuaian.

“Harga tiket belum diputuskan kerana ia bergantung kepada pihak kementerian dan tentunya akan diumumkan pada masa bersesuaian. Seperti yang dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook harga tiket adalah berpatutan dan akan diputuskan nanti,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here