LOS ANGELES: Bintang golf Tiger Woods berjanji memberi sokongan kepada komuniti yang terjejas kerana kebakaran hutan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan mengubah landskap Los Angeles sepanjang minggu lalu.
Juara major 15 kali itu, yang lahir di Cypress, California, 40 kilometer di selatan Los Angeles, berkata dalam satu hantaran di laman X, dia akan memberikan butiran usaha yayasan amalnya untuk membantu komuniti yang terjejas.
“Kemusnahan yang berterusan dengan kebakaran LA adalah satu tragedi dan oleh kerana saya berasal dari California, ia melanda kampung halaman saya,” kata Woods.
“Hati saya bersama mereka yang mengalami kehilangan yang tidak dapat dibayangkan.
“Terima kasih kepada wira luar biasa yang pertama turun membantu dan menyelamatkan komuniti Los Angeles.”
Anggota bomba yang masih berjuang untuk mengawal kebakaran besar Palisades dan Eaton bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan kebakaran atau kebakaran baharu ketika angin Santa Ana yang “sangat berbahaya” diramalkan pada Selasa.
Pemain golf AS, Sahith Theegala, yang dilahirkan di pinggir bandar Orange, California, juga berjanji untuk menderma kepada usaha bantuan.
Selepas berkata dia akan menderma AS$100 (RM450) setiap birdie dan AS$250 (RM1,125) bagi setiap eagle pada Terbuka Sony yang berakhir di Hawaii Ahad lalu, Theegala berkata dia akan meneruskan usaha itu sepanjang beberapa minggu akan datang.
“Sedikit sebanyak cuba membantu ketika detik yang dahsyat ini,” kata Theegala. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






