Home Sukan BEKAS JUARA HEAVYWEIGHT DUNIA, FURY UMUM BERSARA

BEKAS JUARA HEAVYWEIGHT DUNIA, FURY UMUM BERSARA

LONDON: Bekas juara heavyweight dunia, Tyson Fury mengumumkan persaraannya dari arena tinju, hanya beberapa minggu selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut di tangan Oleksandr Usyk.

“Saya akan buat ia ringkas dan padat. Saya ingin mengumumkan persaraan saya daripada tinju,” kata petinju British itu dalam satu hantaran di media sosial.

“Ia satu pengalaman yang hebat, saya menikmati setiap detik,” tambah Fury, yang sebelum ini pernah mengumumkan persaraan tetapi kembali ke gelanggang.

“Gypsy King”, 36, kali terakhir bertarung pada 21 Disember lalu ketika beliau tewas dalam perlawanan ulangan menentang juara WBA, WBC dan WBO, Usyk, di Riyadh.

Ditanya selepas pertarungan sama ada peminat akan melihatnya bertarung lagi, Fury berkata: “Mungkin ya, mungkin tidak. Siapa tahu?”

Fury pernah dua kali muncul juara heavyweight dunia dan bersara dengan rekod 34 kemenangan, dua kekalahan dan satu seri.

Beliau sebelum ini mengumumkan persaraan selepas menewaskan Dillian Whyte pada April 2022, tetapi kembali ke gelanggang pada penghujung tahun itu.

Promoter Fury, Frank Warren memberitahu BBC bahawa beliau tidak berbincang dengan petinju itu sebelum pengumuman persaraannya.

“Saya sudah katakan sejak awal bahawa saya tidak akan cuba mempengaruhinya dalam apa cara sekalipun.

“Jika itu yang dia mahu lakukan, itu bagus. Dia sudah mencapai segala yang boleh dicapainya. Mungkin dia adalah juara heavyweight British terbaik dalam generasinya.

“Dua kali menjadi juara dunia, dua perlawanan sengit menentang Usyk. Dia ada banyak wang, sihat dan mempunyai keluarga yang bahagia. Tuhan memberkatinya, semoga dia menikmati kehidupannya,” kata Warren.

Dalam perlawanan terakhir bulan lalu di Arab Saudi, ketiga-tiga juri memberikan mata 116-112 untuk Usyk memenangi perlawanan itu.

Petinju Ukraine itu memenangi perlawanan pertama mereka pada Mei 2024 melalui keputusan split decision.

Persaraan Fury nampaknya bermakna beliau tidak akan bertarung dengan seorang lagi bekas juara dunia, Anthony Joshua, dalam pertarungan membabitkan dua petinju British yang sudah lama dinantikan. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here