Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Bermula sebagai hobi, aktiviti menanam pokok hiasan kini menjadi terapi minda untuk kekal sihat buat seorang pesara kerajaan selain untuk mengisi masa lapang di rumah.
Pesara, Torek Sulong ketika ditemui berkata pada usia remaja, dia mula menanam pokok bonsai dan kaktus sebelum beralih kepada jenis tanaman hias aroid dan monstera.
“Pertama sekali, saya menanam ini sebagai hobi yang kedua terapi minda kerana ia boleh menjadikan kita rasa tenang apabila ada pokok yang cantik.
“Kita juga dapat bertukar benih dengan kawan-kawan ataupun sekiranya ada di kalangan mereka yang ingin membelinya kita akan jual dalam skala yang kecil kerana ia sekadar hobi untuk terapi minda,” katanya ketika ditemui di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, di sini, baru-baru ini.

Torek berkata, monstera merupakan pokok hiasan yang popular di seluruh dunia selain sesuai ditanam sebagai tanaman dalam rumah atau dijadikan tanaman hiasan dalam pasu.
Menurutnya, sehingga kini lebih seribu pokok sudah ditanam dengan benih atau anak pokok diperoleh daripada rakan yang mempunyai minat sama atau membelinya sendiri secara dalam talian.
Jelasnya, antara tanaman hias paling berharga yang dimiliki adalah jenis Philodendron Billietiae dan Philodendron Caramel Marble yang mana pokok itu mempunyai daun pelbagai warna.
Torek berkata, kini sudah ramai penanam tempatan menjual pokok tersebut secara dalam talian tanpa perlu membuat tempahan dengan pembekal luar sehingga terpaksa mengeluarkan kos yang besar.
Mengulas lanjut, memandangkan pokok itu mudah dibiakkan, dia berminat untuk menjual anak pokok miliknya sekira ada permintaan daripada mereka yang berminat, namun tidak mempromosikannya secara terbuka.
Ini kerana Torek berkata aktiviti tersebut lebih kepada kepuasan diri, selain berukhwah dan menjalinkan persahabatan dengan mereka yang mempunyai minat sama dengannya.
IMedikel TV






