JAKARTA: Agensi berita ANTARA melaporkan seramai 15,807 banduan di seluruh Indonesia diberikan pengurangan hukuman sempena sambutan Krismas 2024.
Menteri Imigresen dan Pembetulan Indonesia, Agus Andrianto dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan jumlah tersebut membabitkan 15,691 banduan menerima pengurangan tempoh hukuman, manakala 116 yang lain dibebaskan serta-merta.
“Kerajaan turut memberikan pengurangan hukuman kepada 166 kanak-kanak dengan tiga daripadanya dibebaskan serta-merta.
“Sumatera Utara mendahului senarai wilayah dengan 3,196 banduan menerima pengurangan hukuman khas Krismas, diikuti Nusa Tenggara Timur (1,894) dan Papua (1,447),” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Sumatera Utara dan Papua Barat masing-masing mencatatkan 23 pesalah juvana menerima pengurangan hukuman, jumlah tertinggi di antara semua wilayah. – BERNAMA-ANTARA, BH Online –
IMedikel TV






