Home Sukan BAM ‘LAMAR’ HERRY

BAM ‘LAMAR’ HERRY

133
0

KUALA LUMPUR: Jurulatih berpengalaman Indonesia, Herry Iman Pierngadi mengesahkan dirinya ada dihubungi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung kemungkinan dilantik sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara.

Bercakap kepada BH Sukan, jurulatih berusia 62 tahun itu yang diberi julukan Herry Ip berkata, dia bersedia untuk mempertimbangkan sebarang tawaran daripada badan induk itu sekiranya dirasakan sesuai.

“Kalau ada kecocokan atau deal, memungkinkan saja (kalau sesuai dan diberikan tawaran, kemungkinan itu ada),” katanya ketika dihubungi menerusi mesej peribadi (DM) di laman Instagramnya.

Ditanya sama ada wakil daripada BAM ada menghubunginya, Herry secara ringkas menjawab: “Sudah ada.”

BAM ketika ini sedang dalam proses bagi mencari pengganti kepada Tan Bin Shen yang melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih beregu lelaki negara berkuat kuasa 13 Januari ini selepas menerima tawaran untuk bersama skuad badminton Hong Kong.

Herry adalah jurulatih yang memiliki reputasi besar selepas berjaya melahirkan juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido serta menghasilkan deretan pasangan bertaraf dunia.

Dia juga bertanggungjawab membentuk gandingan Hendra bersama Mohammad Ahsan yang menyaksikan mereka memenangi beberapa gelaran dunia dan Seluruh England.

Pasangan lain yang menonjol di bawah bimbingan Herry seperti Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang turut meraih gelaran Seluruh England dan menjadi pasangan beregu lelaki nombor satu dunia.

Bagaimanapun, Herry pada tahun lalu ditugaskan untuk mengendalikan beregu campuran.

Herry baru-baru ini mengumumkan yang dia tidak lagi akan bersama skuad badminton Indonesia.

Difahamkan, Persatuan Badminton China (CBA) turut berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih itu.

Selain Herry, dua lagi nama disebut-sebut bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Bin Shen iaitu jurulatih dari Denmark, Mathias Boe dan Flandy Limpele dari Indonesia. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here