Home Buletin Semasa SUSULAN KES KEMATIAN PELAJAR AKIBAT RENJATAN ELEKTRIK, JAIS DAN AGENSI TERLIBAT LAKUKAN...

SUSULAN KES KEMATIAN PELAJAR AKIBAT RENJATAN ELEKTRIK, JAIS DAN AGENSI TERLIBAT LAKUKAN SIASAT

185
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menjalankan siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah agama di Serdang, baru-baru ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berkata JAIS bersama Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor/Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pihak sekolah melawat lokasi kejadian pada Khamis lalu.

“JAIS kini sedang menunggu laporan rasmi siasatan daripada Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor berhubung keselamatan bangunan terlibat untuk digunakan. JAIS juga akan meminta laporan agensi teknikal lainnya dan dari pihak PDRM untuk tindakan lanjut JAIS.

“Disebabkan kejadian pada Rabu lalu, JAIS telah pun mengarahkan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah tersebut dihentikan serta merta bagi mengelak kemalangan berulang dan bagi memudahkan siasatan lanjut dijalankan,”katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, seorang murid lelaki Tahun Enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang.

Menurutnya satu laporan khas akan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam masa terdekat.

Katanya, Sekolah KAFA Integrasi Manbaul ULUM, Taman Sri Serdang, Seri Kembangan adalah sekolah Islam yang didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan) 2001 yang ditadbir oleh Lembaga Pengurusan Sekolah.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membantu guru agama dan fardu Ain melalui skim guru KAFA JAKIM, manakala Kerajaan Negeri membantu dalam pemberian buku teks percuma melalui Skim Pinjaman Buku Teks.

“JAIS dan Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk memastikan murid-murid belajar mengikut kurikulum agama yang ditetapkan dan premis sekolah sentiasa dalam keadaan selamat serta selesa untuk pelajar dan guru.

“Bangunan yang dibina atau disewa bagi tujuan ini adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),”katanya.

Dalam pada itu JAIS mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terlibat atas kejadian yang berlaku dan berharap semua pihak Lembaga Pengurusan Sekolah KAFA atau sekolah agama swasta di Negeri Selangor sentiasa memantau perkara-perkara yang melibatkan keselamatan guru dan pelajar di sekolah dan mengambil tindakan segera.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here