BUKIT JALIL: Penyanyi, Illa Sabry, 45, mendedahkan dia pernah berasa mahu menarik diri pada minggu pertama program realiti Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) sebelum ini.
Illa berkata, pada mulanya, dia bimbang untuk meneruskan persaingan dalam GV11 kerana sudah 20 tahun meninggalkan bidang nyanyian.
“Saya juga bertanya pada diri sama ada saya sebenarnya boleh menyanyi atau tidak? Saya rasa nyanyian teruk sebab lagu sendiri pun tidak boleh sampaikan dengan baik ketika itu.
“Saya juga menggeletar kerana tidak boleh kendalikan ‘stress’ (tekanan) dan ‘stage fright’ (ketakutan atas pentas) yang sangat teruk di pentas ketika itu,” katanya.
Mengenai GV11 lagi, kata penyanyi yang popular dengan lagu Keranamu Kekasih itu, dia putuskan untuk teruskan persaingan dalam program realiti itu kerana sokongan peminat setianya.
“Komen juri tetap, Datuk Ramli MS juga seperti beri peluang pada saya untuk teruskan persaingan. Saya juga seronok baca komen positif netizen yang cakap kalau mereka pun akan menyanyi seperti ‘suara ayam’ kerana sudah 20 tahun tak menyanyi.
“Namun, selepas masuk minggu ketiga dan keempat, saya sudah berasa okay. Saya sendiri pun terkejut kerana sudah boleh menyanyi lagu ‘fast’ dan menari sekarang,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






