Home Buletin Semasa KKM SAMBUT BAIK INISIATIF BNM, PENGENDALI INSURANS DAN TAKAFUL KAWAL INFLASI PERUBATAN

KKM SAMBUT BAIK INISIATIF BNM, PENGENDALI INSURANS DAN TAKAFUL KAWAL INFLASI PERUBATAN

216
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) serta pengendali insurans dan takaful dalam mengawal inflasi perubatan bagi menjamin penjagaan kesihatan seluruh masyarakat.

Menterinya, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata inflasi tersebut menyebabkan berlakunya kenaikan premium insurans serta takaful perubatan dan kesihatan yang boleh memberi kesan jangka panjang.

“Kita dapati inflasi perubatan ini berlaku disebabkan kenaikan gaji dan upah untuk petugas kesihatan bagi menambah bilangan kemahiran dan kepakaran mereka.

“Selain itu, dengan adanya keperluan fasiliti baharu di hospital kerajaan dan swasta untuk memenuhi keperluan orang ramai, kos tersebut akan beralih kepada pengguna melalui inflasi harga bagi produk yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, hal itu juga berpunca daripada tabiat pengguna dan mekanisme pasaran yang lebih cenderung membuat pilihan tanpa mempunyai maklumat yang mencukupi disebabkan oleh kurangnya pendedahan kepada dunia perubatan.

Bagaimanapun, KKM bakal meneruskan inisiatif sedia ada dan akan diselaraskan melalui siri libat urus bersama pemegang taruh termasuk hospital dan klinik swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri insurans dan ahli ekonomi kesihatan.

Justeru, bagi menangani inflasi, KKM mengambil langkah proaktif termasuk melalui Rakan KKM dengan menawarkan pilihan perkhidmatan ‘ekonomi premium’ pada harga munasabah dan mampu milik di fasiliti KKM.

KKM turut mengambil tindakan membangunkan Diagnosis Related Groups (DRGs) kebangsaan sebagai mekanisme pembayaran perkhidmatan bagi menggalakkan perkhidmatan kesihatan berasaskan nilai(VBHC) di sektor swasta dan awam.

KKM juga memudah cara dan menggalakkan lebih banyak pengeluar mendaftarkan produk, terutama ubat-ubatan generik dan peranti perubatan dengan badan kawal selia negara, selain bekerjasama dengan BNM dan beberapa pihak lain untuk pembangunan produk MHIT yang lebih mampan.

Di samping itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) juga akan disemak semula bagi memperkukuh kerangka kawal selia sektor kesihatan swasta.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here