PUTRAJAYA: Kerajaan mengekalkan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung menerusi pelaksanaan kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan keputusan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bagi tempoh tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan adalah komited untuk menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.
“Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai oleh Kerajaan pada kali ini adalah sebanyak RM2,388 juta.
“Kementerian percaya bahawa pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar adalah merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya mengurangkan komitmen subsidi Kerajaan agar peruntukan tersebut dapat disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan Kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,”katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan Kerajaan pada 13 Disember lalu turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
“Sehubungan itu, Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga (security, sustainability and affordability) dan jadual tarif baharu ini dicadang untuk dilaksanakan bermula pada 1 Julai tahun depan dengan melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM3,570 juta yang akan dibiayai Kerajaan,”menurut kenyataan.
Kerajaan juga menurut PETRA kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 bagi pengguna kategori Miskin Tegar dalam Sistem e-Kasih dengan peruntukan RM55 juta.
“Pengguna boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti berhampiran atau melihat jumlah subsidi elektrik dalam bil elektrik bulanan,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






