LONDON: Perlawanan menentang Crystal Palace dalam aksi suku akhir Piala Liga di tempat sendiri pada awal pagi Khamis memberikan peluang kepada Arsenal untuk menebus kekecewaan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Gunners keciciran mata dalam persaingan memburu gelaran liga selepas seri 0-0 dengan Everton dan gagal memanfaatkan keputusan seri pendahulu Liverpool dengan Fulham.
Kini, mereka perlu membuktikan kredibiliti mereka ketika Mike Arteta merancang untuk kembali ke Wembley.
Di sebalik kemajuan Arsenal di bawah kendalian jurulatih dari Sepanyol itu, mereka masih gagal menjulang banyak trofi dan kemenangan pada kejohanan domestik boleh menjadi penyuntik semangat pada musim yang dijangka lebih sengit.
Declan Rice belum pasti diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Everton manakala Ben White, Riccardo Calafiori, Oleksandr Zinchenko dan Takehiro Tomiyasu turut tidak boleh beraksi akibat masalah sama.
Palace pula meneruskan prestasi meyakinkan sejak akhir-akhir ini selepas menang 3-1 ke atas Brighton, Ahad lalu.
Mereka akan berkunjung ke Stadium Emirates untuk menentang Arsenal tanpa Adam Wharton dan Matheus Franca, manakala Rob Holding masih perlu dipantau tahap kecergasan.
Arsenal pastinya pasukan pilihan di tempat sendiri tetapi ancaman Palace tak boleh dipandang ringan.
Berdasarkan sejarah pertemuan, Arsenal mendominasi dengan 33 kemenangan berbanding Palace enam dan 16 lagi seri.
Rekod itu yang dibantu aksi tempat sendiri meletakkan mereka pasukan pilihan. Namun, keputusan perlawanan banyak bergantung kepada strategi taktikal yang bakal diterapkan kedua-dua pengurus terutama membabitkan penggiliran skuad oleh Arteta. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






