KUALA LUMPUR: Aktres Diana Danielle hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, pagi ini bagi prosiding kes permohonan perceraiannya terhadap suami, Farid Kamil.
Diana, 33, yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan mengenakan jubah hitam dan ditemani peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir berharap prosiding hari ini dipermudahkan.
Akberdin berkata, hari ini akan diteruskan dengan prosiding permohonan cerai difailkan anak guamnya dengan mengikut prosedur mahkamah.
“Hari ini diteruskan dengan permohonan cerai, jadi kita akan tunggu reaksi daripada defendan (Farid) sama ada bersetuju atau tidak.
“Kita akan ikut proses selanjutnya seperti Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan hakam, jadi kita tunggu dulu,” katanya ditemui di perkarangan mahkamah, pagi ini.
Sementara itu, Farid, 43, tiba beberapa minit selepas itu bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan menyifatkan ini adalah hari terbaik buatnya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur hari ini adalah hari paling terbaik dalam hidup saya,” kata Farid sebelum masuk ke dewan bicara.
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke mahkamah sama bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid.
Mahkamah kemudian mengesahkan status pasangan pelakon itu sebagai suami isteri selepas melalui prosiding permohonan pengesahan rujuk pada 20 November lalu.
Bagi permohonan cerai, Diana memfailkannya mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen diperoleh antara alasan dikemukakan untuk bercerai adalah sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Nama pasangan ini kembali menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.
Bagaimanapun, Farid masih mahu mempertahankan rumah tangga dan menyayangi Diana dan anak-anaknya.
Sebelum itu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Mac tahun lalu.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudiannya bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu, namun, rujuk kembali sebulan kemudian.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – BH Online –
IMedikel TV






