KUALA LUMPUR: Stadium Merdeka dibanjiri 24,000 penonton yang menggamatkan Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza (Konsert The Journey of Sound) di sini, malam tadi.
Di konsert penuh gilang gemilang itu, Siti dan Judika mempersembahkan lebih 30 lagu secara solo serta duet termasuk segmen medley.
Siti meluahkan rasa teruja melihat jumlah penonton yang memenuhi ruang tempat duduk di dalam stadium.
“Konsert di Axiata Arena sebelum ini boleh memuatkan 12,000 penonton dan hari ini (malam tadi) di sini, 24,000 penonton. Terima kasih kepada semua,” katanya.
Sementara itu, Judika juga meluahkan rasa teruja dapat beraksi di stadium bersejarah itu.
“Ini impian saya untuk beraksi di Stadium Merdeka dan kini menjadi kenyataan,” katanya.
Antara lagu dipersembahkan adalah Bukan Cinta Biasa, Hati Kama, Wajah Kekasih, Balqis, Mama Papa Larang, Bukan Rayuan Gombal dan banyak lagi.
Siti dan Judika diarak masuk ke dalam stadium menaiki kereta ‘sport’ mengelilingi stadium sebelum muncul di pentas.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan Faizal Tahir yang menyampaikan tiga lagu popularnya.
Selain itu, langit Stadium Merdeka turut diserikan dengan pertunjukan bunga api berskala besar selama beberapa minit di samping pencahayaan dari Menara Merdeka 118. – BH Online –
IMedikel TV






