Home Hiburan STACY AMBIL SEMANGAT M NASIR

STACY AMBIL SEMANGAT M NASIR

KUALA LUMPUR: Lagu Menyala cukup lama berada dalam simpanannya. Entah kenapa penyanyi popular, Stacy Anam cukup berat melangkah ke studio untuk membuat rakaman.

Bagaimanapun, Stacy berterima kasih kepada maestro muzik legenda, Datuk M Nasir yang memberikannya semangat dan inspirasi untuk merakamkan lagu Menyala selepas menonton Konsert Datuk M N45IR Cipta 2 pada Oktober lalu.

Stacy yang tidak gemar menonton konsert mengakui, Konsert Datuk M N45IR Cipta 2 menyebabkannya mendapat semangat untuk akhirnya masuk ke studio rakaman.

“Tetapi, saya gagahkan diri meredah hujan semata-mata mahu menonton persembahan penyanyi pujaan, M Nasir. Dari situ barulah saya dapat semangat merakamkan single terbaharu berjudul Menyala.

“Selama tiga jam konsert, saya langsung tak bangun ke mana-mana, termasuk tandas.

“Jadi, saya nak ucapkan terima kasih kepada M Nasir kerana berjaya memberi impak pada saya, sedangkan sebelum ini, saya berat nak masuk studio rakamkan lagu Menyala,” katanya kepada BH Online.

Stacy berkata, tiada keyakinan timbul kerana berasakan lagu Menyala terlalu ‘melebih-lebih’ membuatkannya keberatan masuk studio.

Sebelum ini, Stacy berkata, dia dan suami, Akim Ahmad bergabung menghasilkan lagu, tetapi apabila menghasilkan lagu Menyala sepenuhnya membuatkan fikirannya berbelah-bahagi.

“Selama ini, saya tak pernah terfikir mengenai maksud lagu dan penghayatan. Saya hanya menyanyi, tetapi secara kebetulan, lagu-lagu nyanyian kena dengan karakter saya.

“Tapi, bila buat lagu sendiri barulah saya tahu ‘feel’ macam mana. Lagu Menyala sangat istimewa untuk pengkarya yang baru nak berkecimpung dalam dunia penciptaan lagu seperti saya.

“Nak kata 100 peratus yakin dengan karya sendiri, sukar untuk saya katakan. Ini kerana sebelum ini saya selalu bersama Akim. Namun, jika saya tak mulakan sekarang, bila lagi?” katanya.

Berkongsi mengenai maksud lagu Menyala, kata Stacy, ia menyentuh mengenai kepercayaan kepada potensi diri disamakan dengan dirinya.

Seperti mana lagu sebelum ini, Stacy berkata, dia masih tidak melupakan asal usulnya apabila menampilkan saudara mara daripada etnik Kadazan-Dusun dalam video muzik.

Katanya, dia mahu ada sesuatu mengenai susur galur untuk dikenang pada kemudian hari.

“Ramai sudah pergi, jadi sebelum lebih ramai tidak ada, saya putuskan untuk masukkan mereka dalam video muzik supaya ada kenangan. Mereka teruja dan tak sangka penggambaran dilakukan dengan sangat mudah,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here