Home Sukan MARESCA ANGGAP KEJUARAAN LIGA MASIH JAUH

MARESCA ANGGAP KEJUARAAN LIGA MASIH JAUH

LONDON: Chelsea kini pesaing utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas deretan keputusan memberangsangkan dalam beberapa perlawanan terakhir, tetapi pengendalinya, Enzo Maresca kekal dengan pendiriannya yang mereka belum bersedia merebut gelaran.

Chelsea bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Tottenham Hotspur 4-3 pada Ahad lalu dan merakam kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan liga.

Kemenangan itu melonjak mereka ke tangga kedua pada 31 mata daripada 15 perlawanan, empat di belakang pendahulu, Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan.

The Blues kini dua mata di depan Arsenal yang berada di tangga ketiga dan empat ke atas juara bertahan, Manchester City yang menghuni tangga keempat.

Maresca, yang dilantik pada Jun lalu selepas kejayaannya membimbing Leicester City menjuarai Liga Kejuaraan pada musim pertamanya, bagaimanapun enggan cepat mendabik dada dan menganggap Chelsea sebagai calon juara musim ini.

“Anda dapat menghidunya (persaingan kejuaraan), anda dapat merasainya. Mungkin sebab itu saya katakan kami belum bersedia, kerana kami belum merasainya ketika ini. Saya harap ia akan tiba.

“Saya ingin meyakinkan diri saya dan pemain-pemain yang satu-satunya cara untuk mencapai sesuatu ialah dengan memberi tumpuan dari hari ke hari.

“Apabila anda mula memikirkan dua hari di depan, tiga hari, sebulan, dua bulan, ia menjadi permulaan untuk tempoh yang buruk,” kata Maresca.

Chelsea akan melayan kunjungan Brentford di Stamford Bridge untuk aksi liga esok (awal pagi Isnin).

Brentford, di tangga kesembilan liga, hanya mengutip satu mata daripada tujuh perlawanan di tempat lawan dalam saingan liga.

Bagaimanapun Chelsea gagal merakam kemenangan dalam lima pertemuan terakhir menentang Brentford. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here