KUALA LUMPUR: Lima penyanyi ternama dari Malaysia dan Indonesia iaitu Exists, Datuk Seri Rossa, Fabio Asher, Nidji dan Ungu bakal menggegarkan Konsert Galau The Finale di Arena @ Expo di Singapura pada 22 Februari depan.
Konsert itu adalah susulan kejayaan Konsert Galau yang berlangsung tahun lalu anjuran SAH Entertainment.
Menurut Pengarah Urusannya, Sufi Rashid, konsert itu bakal mencipta satu lagi detik bersejarah di Singapura.
“Pada Disember tahun lalu, kami berjaya mencipta sejarah dengan menganjurkan Konsert Galau pertama dan terbesar di Singapura.
“Persembahan pada malam itu memang tidak dapat dilupakan, sehingga mereka yang hadir masih mengingati momen ketika konsert berlangsung dan bagi saya itu salah satu konsert yang sangat memberangsangkan.
“Kali ini pihak kami akan tampilkan sekuel yang ditunggu-tunggu dan akan berikan terbaik buat mereka yang hadir untuk Konsert Galau The Finale,” katanya.
Menurut Sufi, barisan artis yang dipilih untuk Konsert Galau The Finale disusun melalui tinjauan dibuat menerusi komuniti SAHabats di Telegram.
“Sama seperti tahun lepas, barisan selebriti disusun rapi dengan bantuan komuniti SAHabats setia kami di Telegram.
“Melalui tinjauan pendapat interaktif, mereka memilih artis paling mereka ingin lihat beraksi di pentas” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






