Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi gelombang kedua Monsun Timur Laut di beberapa negeri.
Menurut kenyataan media, KPM mengambil serius amaran Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) berkenaan hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga 11 Disember ini.
“Bagi menghadapi Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember, KPM telah mengaktifkan prosedur standard operasi Ops Payung. Ini penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon yang terjejas.
“Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diarah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi,”menurut kenyataan itu semalam.
Semua jawatankuasa diminta untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa.
Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir.
“KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir,”katanya.
Tujuh negeri yang dijangka dilanda hujan berterusan termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.
IMedikel TV






