Home Segmen Kesihatan UTAMAKAN KESIHATAN DIRI KETIKA BANJIR

UTAMAKAN KESIHATAN DIRI KETIKA BANJIR

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad menggesa orang ramai agar mengamalkan langkah penjagaan kesihatan kendiri terutama pada musim bencana banjir.

Beliau berkata, mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sangat berisiko terhadap penularan penyakit berjangkit, kemalangan dan kecederaan.

“Bagi mereka yang bergejala disarankan untuk memakai pelitup muka dan sentiasa mencuci tangan kerana mereka berada di tempat umum.

“Saya turut nasihatkan mereka yang mengalami masalah kulit, mempunyai luka atau terpaksa meredah banjir supaya membalut luka dan menggunakan alat pelindung diri seperti but getah bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman yang ditularkan melalui air banjir,” katanya ketika sidang media di PPS Tumpat, di sini, hari ini.

Menurut beliau, orang ramai samaada yang berada di rumah mahupun PPS, mereka perlu sedar akan perubahan rasa, bau dan tekstur pada makanan.

“Jangan menyimpan makanan yang telah disediakan melebihi empat jam, ini bagi mengurangkan risiko kejadian keracunan makanan.

“Sebaiknya, makanan hendaklah dimakan segera selepas disediakan malah jika bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak,” katanya.

Tambah Dzulkefly, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada bermain air banjir terutama golongan anak-kanak bagi mengelakkan kejadian lemas dan kecederaan lain. IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here