LONDON: Juara dua kali acara basikal bukit di Olimpik, Tom Pidcock akan meninggalkan pasukannya, Ineos Grenadiers pada hujung musim ini, umum pasukan berbasikal Britain itu, semalam.
Pelumba serba boleh berusia 25 tahun itu yang menyertai Ineos sejak 2021 menandatangani kontrak baharu selama lima tahun pada 2022 dan sepatutnya berlanjutan sehingga musim 2027.
“Kami cukup bangga bekerja dengan Tom dan membantunya mencapai detik luar biasa dan penuh kenangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ineos Grenadiers, John Allert dalam satu kenyataan.
“Kami melakar babak bertenaga dan menunjukkan betapa teruja serta menarik dalam segmen berbasikal secara profesional.
“Tom memiliki pelbagai sasaran besar dan kami percaya, keputusan ini membolehkan kami meneruskan impian masa depan kami dengan kesungguhan dan matlamat jelas.
“Kami berterima kasih kepada Tom untuk tempoh empat tahun terakhir dan mengucapkan selamat berjaya kepadanya di masa depan.”
Pidcock dianggap pelumba muda berbakat dan menang pingat emas basikal bukit di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum mengekalkannya di Paris 2024.
Dalam acara lebuh raya pula, pencapaian terbaiknya tahun ini adalah memenangi Ardennes Classic dan menduduki tempat keempat Strade Bianche, sekali gus menunggu peluang bersaing di Grand Tour. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






