Home Sukan AKHIRNYA PALACE MENANG DI TEMPAT LAWAN

AKHIRNYA PALACE MENANG DI TEMPAT LAWAN

117
0

IPSWICH: Crystal Palace meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Ipswich Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), hasil jaringan tunggal Jean Philippe Mateta pada minit ke-59 selepas pertahanan tuan rumah, Jacob Greaves, tergelincir.

Penyerang Perancis itu mengambil peluang apabila Greaves hilang kawalan, membuka ruang untuknya menyepak bola melepasi penjaga gol Ipswich, Arijanet Muric, sekaligus memastikan kemenangan penting untuk skuad Palace.

Kemenangan ini membawa Palace ke tangga ke-16 liga dengan 12 mata, sementara Ipswich kekal di tangga kedua terakhir dengan hanya sembilan mata.

Ini juga kemenangan pertama Palace di tempat lawan musim ini, manakala Ipswich terus menunggu kemenangan pertama mereka di Portman Road sejak dinaikkan ke EPL.

Pengurus Palace, Oliver Glasner, meluahkan rasa puas hati terhadap prestasi anak buahnya.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Ia bukan tentang persembahan cemerlang, tetapi lebih kepada semangat juang. Kami tahu ini akan jadi pertarungan sengit, dan itu yang kami dapat,” katanya kepada Match of The Day.

Palace menunjukkan disiplin tinggi dalam bertahan, tidak membenarkan Ipswich mencipta peluang daripada permainan terbuka, kecuali menerusi beberapa situasi sepakan penjuru.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing seimbang sebelum Palace mula menguasai permainan menjelang rehat.

Eberechi Eze hampir mencipta jaringan untuk Palace, tetapi percubaannya berjaya diselamatkan oleh Muric.

Pada penghujung perlawanan, Ipswich hampir menyamakan kedudukan apabila tandukan Greaves terkena tiang gol, namun tiada pemain Ipswich yang berada di posisi tepat untuk memanfaatkan bola muntah itu.

Palace kini boleh menarik nafas lega selepas mengakhiri kemarau kemenangan di tempat lawan, sementara Ipswich masih perlu bekerja keras untuk keluar dari zon penyingkiran. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here