Home Buletin Semasa GRADUAN UPSI TERPAKSA RAIKAN KONVOKESYEN DI PPS

GRADUAN UPSI TERPAKSA RAIKAN KONVOKESYEN DI PPS

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kelihatan sayu dan pilu apabila hanya mampu menyaksikan istiadat Konvokesyen dari jauh tanpa mampu melangkah ke pentas untuk menerima skrol ijazah yang diperjuangkan selama empat tahun.

Graduan itu, Durratul Alia Mohamad Kamil, 24 ketika dihubungi berkata, dia sekeluarga terkandas akibat banjir dan terpaksa meraikan konvokesyen di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jelawat, di sini.

“Saya terpaksa membatalkan rancangan untuk bertolak ke UPSI kerana hujan lebat yang melanda negeri ini sehingga mengakibatkan banjir hampir di seluruh kawasan dan banyak laluan telah ditutup ketika itu.

“Kalau ikutkan majlis konvokesyen saya adalah pada hari Sabtu dan kami sekeluarga bercadang untuk bertolak dari Kelantan ke Perak pada hari Khamis, namun hujan lebat tanpa henti pada Rabu malam sehingga rumah saya dinaiki air dan terpaksa berpindah ke PPS dengan segera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Durratul adalah graduan Pengajian Bahasa Arab kelihatan memakai jubah konvokesyen sama seperti pelajar lain dan ditemani oleh ibunda tercinta, Suriana Sulaiman, 57 sambil menonton siaran langsung tersebut di PPS.

Katanya kejadian itu menjadikan ia pengalaman yang tidak dapat dilupakan namun dia menerima ujian tersebut dengan hati terbuka.

“Memang sangat sedih namun perasaan itu hanya sekejap sahaja.

“Alhamdulillah ramai yang tidak henti memberi kata-kata semangat terutamanya keluarga tercinta,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana kesemua pelajar yang tercicir masih mempunyai peluang untuk menyertai majlis konvokesyen pada tahun depan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan di PPS, Durratul sekeluarga berada di sana selama empat hari bermula pada Khamis hingga Ahad.

“Ini adalah kali pertama saya dan keluarga terpaksa tinggal di PPS kerana banjir yang tidak dijangka telah berlaku,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here