Home Buletin Semasa FOBIA DENGAN PENGALAMAN BANJIR 10 TAHUN LALU

FOBIA DENGAN PENGALAMAN BANJIR 10 TAHUN LALU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Gelombang pertama banjir bermula sejak Rabu lalu, dan ramai yang terkesan banjir pada kali ini.

Seorang penduduk, Kunah Raja Busu, 66, dari Kampung Longger, berkata dia terpaksa keluar dari rumah selepas disuruh empat anaknya.

“Saya mengambil keputusan untuk pindah keluar ke rumah anak sulung saya di Salor atas desakan anak-anak memandangkan air semakin tinggi.

“Kalau hendak ikutkan memang kampung ini memang kawasan banjir. Namun, saya tidak sangka dalam tempoh 3 jam sahaja air sudah memenuhi rumah dan kawasan kampung, biasanya kalau hujan selama tiga hari baru banjir macam ini, tetapi kali ini hanya dalam tempoh 3 jam,”katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Menurutnya dia sebolehnya bertegas untuk tidak berpindah tetapi anak-anaknya khuatir akan keselamatan dirinya dan suami, Abdullah Omar, 66.

“Pengalaman banjir 10 tahun lalu iaitu 2014, hanya tinggal saya dan seorang cucu perempuan yang ketika itu berusia 2 tahun.

“Kalau 10 tahun lalu banjir besar melanda menenggelamkan kampung kami, ketika itu kami terpaksa meredah banjir dengan air berada paras dada.

“Tahun ini air paras pinggang. Dengan kudrat yang sudah tidak segagah seperti 10 tahun lalu untuk melawan arus deras, saya dan suami hanya mengemas barang-barang berharga dan mengikut kemahuan anak-anak yang bimbangkan keselamatan kami.

“Saya memang fobia dengan pengalaman 10 tahun lalu. Mengenangkan kami terpaksa meredah banjir bersama seorang cucu dengan tangan kiri dan tangan kami membawa barang keperluan cucu termasuk susu, pakaian dan lampin pakai buang berjalan ke Sekolah Kebangsaan Chicha Tinggi untuk mencari tempat selamat,”katanya.

Manakala suaminya, Abdullah berkata pada hari pertama banjir, anak kedua saya pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatan kami dan anaknya yang tinggal bersama kami.

“Dia balik kerana bimbangkan keselamatan kami, namun dia juga tersekat banjir kerana air semakin tinggi. Jadi tinggal kami berempat di rumah,”katanya.

Tambahnya selepas kejadian banjir tahun 2014, dia membeli sebuah bot pelampung.

“Saya membeli bot pelampung untuk kemudahan sekiranya berlaku kecemasan, saya boleh meletakkan isteri dan cucu saya di atas bot dan menolak mereka ke kawasan lebih tinggi.

“Tetapi, bot kami bocor pada hari kedua banjir. Jadi, saya bercadang untuk membeli sebuah bot berenjin kerana saya pernah ada pengalaman mengendali bot tersebut sebelum ini,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here